Selasa, 3 Februari 2009

KEPIMPINAN MUHAMMAD


Nabi Muhammad adalah contoh peribadi yang dapat dicontohi kepimpinannya. Oleh itu, semoga kita mengenalli betapa indahnya kepimpinan Nabi Muhammad SAW.

Walaupun sudah lama wafat, namun pengaruhnya tetap kekal sehingga ke hari ini. Ia tidak lapuk di telan zaman dan tidak lekang dimakan usia. Kepimpinan adalah pengaruh. Semakin kuat kepimpinan individu, maka semakin kuat pengaruhnya. Begitu juga dengan Baginda. Tidak hairan apabila Micheal H. Hart, di dalam bukunya 'Seratus Tokoh Yang Paling Berpengaruh dalam Sejarah', menempatkan Nabi Muhammad SAW pada kedudukan teratas, jauh mengatasi tokoh-tokoh dunia yang lain.

Di sini timbul persoalan, pemimpim yang bagaimanakah sehingga pengaruhnya mampu menembusi tembok hati kita?

Jawapannya adalah,

1. Sebelum memimpin individu lain, Nabi SAW sering mengawal dengan memimpin diri sendiri terlebih dahulu.
  • Baginda menjaga mata daripada melihat perkara yang boleh merosakkan hatinya.
  • Baginda menjaga tutur katanya sehingga Baginda tidak berbicara melainkan kata-kata yang benar, indah dan bermakna.
  • Baginda berjaya memimpin nafsu, keinginan dan memimpin keluarganya dengan cara yang terbaik sehingga Baginda mampu memimpin umat dengan cara yang MUMTAZ.
2. Nabi Muhammad saw memperlihatkan kepimpinannya tidak hanya menyuruh dan melarang tetapi, Baginda berjaya memimpin dengan contoh tauladan yang terbaik. Dalam kehidupan sehariannya, sebagai pemimpin, Baginda sentiasa melakukan tugasnya terlebih dahulu sebelum diperintahkan kepada individu lain. Keteladanan ini penting kerana sehebat mana pun kata-kata, ia tidak berharga melainkan menyeimbangkan kata-kata itu dengan perbuatan.

Nabi SAW tidak pernah menyuruh individu lain sebelum menyuruh dirinya sendiri. Baginda juga tidak melarang individu lain sebelum melarang dirinya. Kata-kata dan perbuatannya sentiasa selari sehingga setiap kata-kata diyakini kebenarannya. Kesannya, beliau memiliki kekuatan Ruhiah yang dahsyat.

Dalam Al-Quran suratul as-Saf ayat 3, Allah menyatakan yang bermaksud : "Amat besarlah kebencian di sisi Tuhan apabila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan."

3. Kepimpinan Baginda tidak hanya menggunakan akal dan fizikalnya tetapi, memimpin dengan hatinya. Nabi SAW juga mencurahkan rasa cintanya kepada para sahabat sehingga setiap individu dapat merasakan cintanya dengan penuh kasih sayang, tutur katanya menjadi rahmat sekalian alam dan tingkah lakunya yang menawan.


Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu berkhidmat dengan tulus ikhlas demi kesejahteraan umatnya. Ia sanggup berkorban dengan mudah kerana merasakan itu adalah kehormatan sebagai pemimpin dengan mengorbankan orang lain. Pemimpin teladan tidak akan terlintas di fikirannya faedah beliau akan dapat daripada umatnya. Tetapi ia sering kali memikirkan faedah yang dapat disumbangkan bagi umatnya.

Apabila berfikir bagaimana cara mengubah nasib sesuatu bangsa, ia sesuatu yang berat. Oleh itu, marilah kita sama-sama berfikir bagaimana kita dapat m
emimpin diri kita sendiri. Jangan biarkan diri kita menjadi hina kerana mata yang tidak terjaga ataupun kerana tutur kata kita yang penuh keangkuhan. Marilah kita sama-sama tunduk dan berkhidmat kepada individu lain kerana sebaik-sebaik manusia adalah yang paling banyak manfa'atnya.

Inilah dikatakan cermin yang dapat kita contohi daripada kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Peribadinya terlalu agung dan contoh teladannya tetap kekal dalam dada Muslimin hingga ke akhir zaman.

PEMIMPIN YANG DEMOKRATIK.

S
alah satu akhlak dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW adalah bermesyuarat. Nabi Muhammad SAW diperintahkan oleh ALLAH SWT supaya bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya, sebagaimana Allah menyatakan dalam Surah Ali 'Imran, ayat 159 : yang bermaksud "Dan bermesyuaratlah dengan mereka."

Dalam bermesyuarat, kadangkala individu itu membuat cadangan kepada Baginda. Jika Baginda melihat bahawa pendapat itu adalah benar dan tepat, maka Baginda akan mengamalkannya. Ada beberapa langkah yang dilakukan oleh Nabi dalam bermesyuarat iaitu bersikap lemah lembut, pemaaf dan sentiasa memohon keampunan dari Allah SWT.

Sememangnya kita perlu menerima kenyataan ada individu yang berbeza pendapat dengan kita. Perkara yang perlu adalah sikap menerima perbezaan pendapat yang wujud. Sikap ini penting kerana ia sentiasa berlaku dalam konteks bermesyuarat.

Nabi SAW berkata seperti yang diceritakan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Kalian adalah pemimpin, maka kalian akan diminta bertanggungjawab. Penguasa juga adalah pemimpin. maka mereka juga akan diminta supaya bertanggungjawab atas kepimpinannya. Begitu juga suami adalah pemimpin keluarga, maka mereka akan diminta supaya bertanggungjawab atas kepimpinannya. Isteri juga adalah pemimpin (rumah tangga suaminya), maka akan diminta menjalankan tanggungjawabnya. Pelayan juga adalah pemimpin (atas harta tuannya),maka akan diminta supaya bertanggungjawab terhadap pengurusannya. Oleh kerana kalian adalah pemimpin, maka kalian diminta supaya bertanggungjawab atas kepimpinan kalian."

Demikian adalah kunci kejayaan Nabi Muhammad SAW dalam memimpin umat. Apabila Baginda diiktiraf sebagai pemimpin umat adalah benar kerana Baginda menjadi contoh ikutan pemimpin bangsa di seluruh alam semesta yang membawa rahmat dan kebaikan bagi membimbing umat manusia kepada kehidupan yang adil dan aman sejahtera.